Pasukan Bola Sepak Geting FC 1984, Tujoh (7) FC 2016, Lanas XII 1863, ditubuhkan pada tahun tahun 2016 dan berdaftar dengan Suruhanjaya Badan Sukan Malaysia.
Dilatih oleh coach Pauzi Hussin, Yusoff Manan, Fauzi Razali dan dibantu oleh beberapa pembantu jurulatih. Menyertai Liga Bola Sepak Tumpat pada tahun 2017 & 2018.
BELIA HARAPAN BANGSA, PEMUDI TIANG NEGARA
Belia harapan bangsa. Cogan kata ini begitu sinonim dengan golongan belia yang merupakan kelompok dominan dan berpengaruh demi melahirkan sebuah negara bangsa yang berjaya. Sehubungan itu, 15 Mei setiap tahun diangkat sebagai hari istimewa buat para belia. Dengan adanya hari tersebut, secara tidak langsung dapat mengingatkan benak fikiran kita tentang besarnya kuasa kumpulan manusia yang berusia 13 hingga 40 tahun ini. Di Malaysia, mereka terdiri daripada dua perlima daripada keseluruhan warganegara. Persoalannya, setakat mana sumbangan yang dihadiahkan oleh perwira bangsa ini demi memakmurkan tanah air serta mewarisi kelangsungan pembangunan politik, ekonomi mahupun sosial?
Sumbanglah walau sebesar zarah demi kesejahteraan bersama. Itulah diksi indah yang sepatutnya membibitkan kesedaran dalam diri para belia untuk menyumbang bakti terhadap masyarakat setempat. Sekiranya kesemua belia menyalurkan khidmat kepakaran bidang masing-masing, tiada asbab pembangunan negara terbantut. Sebagai contoh, seseorang belia yang pakar dalam bidang ekonomi boleh merangka dasar pembangunan bukan sahaja membantu dari aspek kewangan negara bahkan membuka ruang untuk golongan berpendapatan rendah turut serta dalam pembangunan tersebut. Golongan pendidik pula sebagai batu loncatan dalam melahirkan ahli cerdik pandai dalam pelbagainl lingkungan bidang. Tidak dinafikan bahawa belia mampu mengubah nasib negara dengan sumbangan kepakaran masing-masing. Jadilah seperti pohon yang berbuah yakni memberi manfaat kepada orang lain.
Sebagai akhirul kalam, ingin ditegaskan bahawa tanpa golongan belia, negara sukar untuk meneruskan kelangsungan kemajuan. Semangat juang luar biasa belia seperti akar yang menguatkan pasak pohon negara. Sumbang bakti golongan majoriti ini menjadi kekuatan dalaman dalam membangunkan negara tidak kira ruang lingkup politik, ekonomi mahupun sosiobudaya. Segala peranan dan tanggungjawab di bahu para belia diharap dapat memajukan negara yang bertamadun yakni lahiriah dan rohaniah masyarakatnya sangat utuh. Bebaskan diri belia daripada kancah maksiat yang boleh meranapkan jati diri. Semua pihak mempunyai peratusan dalam menggalas tugas untuk meningkatkan kecemerlangan dan sahsiah anak-anak belia yang bakal menerajui kepimpinan negara. 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.'
Pasukan Bola Sepak Lanas XII ditubuhkan pada tahun tahun 2016 dan berdaftar dengan Suruhanjaya Badan Sukan Malaysia.
Dilatih oleh coach Pauzi Hussin dan dibantu oleh beberapa pembantu jurulatih. Menyertai Liga Bola Sepak Tumpat pada tahun 2017 & 2018.
Belia Hari Ini Cermin Masa Depan Negara
"Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku." Itulah kata kata yang lahir daripada Profesor Doktor Yusuf Al-Qardhawi.
Kita boleh katakan bahawa apa yang dimaksudkan oleh beliau ini sebagai generasi muda yang merujuk kepada golongan belia kerana merekalah yang bakal mewarnai corak peradaban bangsa pada masa hadapan.
Nilai kepentingan belia kepada pembangunan negara dapat juga diperhatikan melalui cogankata-cogankata yang sering dikaitkan dengan golongan mereka seperti ‘Belia Tonggak Negara', ‘Belia Harapan Bangsa', ‘Belia Cemerlang dan Negara Gemilang', ‘Belia Hari Ini Pemimpin Hari Esok' dan sebagainya.
Mengikut Dasar Pembangunan Belia dan Akta Pertubuhan Belia serta Pembangunan Belia Malaysia, belia ditakrifkan dalam akta ini sebagai seseorang yang berumur tidak kurang lima belas tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun. Sehingga tahun 2005 jumlah belia dianggarkan 11.1 juta atau 42.5% daripada keseluruhan penduduk negara. Memandangkan jumlah golongan belia yang agak besar, maka sumbangan dan tanggungjawab belia juga dilihat begitu besar.
Sesungguhnya, tanggungjawab besar belia pada hari ini adalah untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan agama. Pada usia muda ini jugalah dianggap sebagai tempoh waktu yang penting bagi tujuan pembentukan generasi pelapis kerana pada usia ini berlakunya pertumbuhan jasmani, pemikiran, akhlak serta bakat seseorang itu berada pada tahap yang sangat sesuai untuk menyerap sebarang pendekatan, pemikiran serta ilmu pengetahuan.
Maka tidak hairanlah, ada yang mengatakan pada peringkat ini, golongan belia berada dalam tahap paling baik untuk melakukan perancangan dan tindakan yang boleh membantu kemajuan dirinya dan juga ummah.
Namun begitu, apa yang dapat kita lihat dalam suasana semasa, dalam arus kemodenan dan kemajuan ini, golongan belia menghadapi cabaran sangat hebat. Golongan ini bukan sahaja terdedah kepada perkara-perkara yang tidak sihat seperti budaya Hedonisme iaitu yang suka berfoya-foya, dan berhibur dengan keterlaluan dan melalaikan, bahkan mereka seringkali dikaitkan dengan kegiatan penagihan dadah, rempit dan jenayah, ragut, lumba haram dan sebagainya.
Perangkaan yang ditunjukkan sejak tahun 2001 sehingga Mei 2006 mencatatkan 3,182 penunggang motosikal ditahan dan 2,970 daripada mereka yang berusia 16 tahun. Ini tidak termasuk mereka yang meninggal dunia akibat lumba haram. (Berita Harian, 8 September 2006). Berdasarkan kepada maklumat yang dikeluarkan oleh Persatuan Mecegah Dadah Malaysia (Pemadam) pada tahun 2005 sahaja, bilangan penagih dadah di kalangan golongan belia yang berusia antara 16-39 tahun berjumlah 23, 699 orang atau 72.23%.
Mungkin pada hari ini jumlah ini sudah bertambah. Apakah punca permasalahn ini terus berlaku? Menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al Attas, permasalahan golongan ini antaranya berpunca daripada kekeliruan mereka terhadap faham ilmu dan kehilangan adab dalam masyarakat. Persoalannya sekarang, bagaimana untuk mempersiapkan belia ini bagi persediaan untuk memartabatkan dan memperkasakan agama masa akan datang?
Jika dimbas semasa zaman kegemilangan tamadun Islam, antara tokoh belia yang perlu dicontohi ialah Usama Bin Zaid yang ketika itu berusia 18 tahun telah menjadi panglima perang untuk menentang kerajaan Rom di Syam. Begitu juga semasa perkembangan Islam di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Ibni Abi Talib, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi para sahabat nabi yang ketika itu menjadi pelopor kepada kebangkitan dan menjadi penggerak dan sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah s.a.w. Kebanyakan mereka pada ketika itu, berusia kurang daripada 40 tahun.
Melihat kepada suasana semasa, bagaimana sejarah lampau ini dapat diulangi semula, jika sebahagaian besar golongan belia tidak mempunyai kesedaran untuk memajukan diri dan ummah? Sehubungan itu, dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa hadapan negara, maka golongan belia ini perlu meletakkan diri mereka sebagai penggerak dan pembina tamadun yang unggul, yang dihormati oleh masyarakat dunia.
Justeru itu, mereka perlu memikirkan masa depan agar dapat menghasilkan kesedaran. Bak kata pepatah "Menyesal dahulu pendapatan ,menyesal kemudian tidak berguna." Nama baik dan keperibadian yang tinggi perlu dijaga untuk jaminan masa depan. Oleh itu, golongan belia hari ini perlu menunaikan tanggungjawab dan kewajipan yang boleh menjamin masa depan cemerlang.
Sebenarnya pada usia muda ini adalah waktu yang paling baik untuk menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran dan apabila seseorang itu telah mencapai usia 40 tahun, dia dikatakan telah mencapai tahap kematangan. Apabila kematangan itu dicapai maka seseorang itu bolehlah memikul atau menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik. Nabi Muhammad SAW sendiri telah dilantik menjadi rasul ketika baginda berusia 40 tahun.
Seperkara lagi golongan belia juga perlu menekankan kepada akhlak. Akhlak yang baik harus diiringi bersama-sama pegangan agama yang tidak longgar. Akhlak Rasulullah s.a.w perlu dijadikan contoh yang terbaik terutama di kalangan belia. Akhlak baginda Rasulullah s.a.w adalah seumpama al Quran.
Andai akhlak baginda menjadi ikutan, kita dapat melahirkan pemimpin pada hari esok yang berakhlak mulia, berilmu dan mengamalkan amalan kerohanian yang mantap dalam semua hal terutama menguruskan pentadbiran negara.
Walau apapun suasana semasa, kita masih tidak terlambat untuk membangunkan golongan belia hari ini. Usaha memperkasakan ilmu, selain kesedaran golongan belia hari ini terhadap gaya hidup Muslim yang mengamalkan ajaran islami, mampu mengangkat martabat golongan belia.
Dalam pada itu, golongan belia perlu bersedia dalam memajukan diri dan seterusnya dapat memberikan sumbangan yang besar kepada negara. Semoga golongan belia hari ini bersedia untuk menjadi seseorang yang mempunyai jati diri yang kuat dalam usaha menjauhkan diri daripada sebarang amalan dan tindakan yang boleh merosakkan diri, maruah dan melemahkan umat Islam.
Jika persediaan ini disempurnakan dengan baik dan rapi, maka cogankata ‘Belia Hari Ini Cermin Masa Depan Negara' dapat dilihat dan dilaksanakan dengan jayanya.