Pasukan Bola Sepak Geting FC 1984, Tujoh (7) FC 2016, Lanas XII 1863, ditubuhkan pada tahun tahun 2016 dan berdaftar dengan Suruhanjaya Badan Sukan Malaysia.
Dilatih oleh coach Pauzi Hussin, Yusoff Manan, Fauzi Razali dan dibantu oleh beberapa pembantu jurulatih. Menyertai Liga Bola Sepak Tumpat pada tahun 2017 & 2018.
BELIA HARAPAN BANGSA, PEMUDI TIANG NEGARA
Belia harapan bangsa. Cogan kata ini begitu sinonim dengan golongan belia yang merupakan kelompok dominan dan berpengaruh demi melahirkan sebuah negara bangsa yang berjaya. Sehubungan itu, 15 Mei setiap tahun diangkat sebagai hari istimewa buat para belia. Dengan adanya hari tersebut, secara tidak langsung dapat mengingatkan benak fikiran kita tentang besarnya kuasa kumpulan manusia yang berusia 13 hingga 40 tahun ini. Di Malaysia, mereka terdiri daripada dua perlima daripada keseluruhan warganegara. Persoalannya, setakat mana sumbangan yang dihadiahkan oleh perwira bangsa ini demi memakmurkan tanah air serta mewarisi kelangsungan pembangunan politik, ekonomi mahupun sosial?
Sejarah Islam menyaksikan Nabi Muhammad S.A.W telah menerima wahyu yang pertama daripada malaikat Jibril A.S. di Gua Hira'. "Bacalah dengan menyebut nama tuhanmu yang menciptakan." Wahyu pertama ini menjelaskan tentang peri pentingnya membaca atau menuntut ilmu pengetahuan sebagai proses atau tatacara pengkajian demi kesejahteraan dunia mahupun akhirat. Rentetan daripada itu, golongan belia harus mempersiapkan perisai ilmu pengetahuan dari pelbagai aspek atau bidang kerana mereka merupakan pewaris kelangsungan hidup sesebuah negara. Janganlah kelompok ini leka dengan terjebak dengan pelbagai kemelut sosial yang kian melanda akhir-akhir ini kerana hanya akan membinasakan sesebuah tamadun bangsa. Saidina Ali bin Abi Talib, seorang tokoh Islam yang disegani berkata, "Jika anda ingin melihat masa depan sesebuah negara maka lihatlah remaja dan belianya." Bagaimana golongan ini menggalas tanggungjawab primer ini sekiranya alpa dengan arus dunia yang melalaikan seperti terjebak dalam pergaulan bebas, jenayah, pengambilan dadah dan alkohol atau membuang masa dengan berpeleseran di kompleks beli-belah. Jelaslah bahawa belia perlu mempunyai intelektual yang tinggi bagi meneruskan dan memajukan negara pada masa hadapan nanti.
Keluhuran dan ketinggian budi merupakan pelengkap makna tamadun itu sendiri. Selain daripada kemegahan dan kehebatan lahiriah, nilai tatasusila juga turut menjadi nilai tambah terhadap kemajuan sesebuah ketamadunan. Nilai-nilai mahmudah seperti saling menghormati, berbuat kebaikan dan menghulurkan pertolongan buat yang memerlukan perlu menjadi pakaian diri agar lebih dihormati dan gah di mata seantero dunia. Peribahasa 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' jelas menunjukkan kepada kita bahawa segala didikan dan tunjuk ajar perlu bermula dari rumah oleh ibu bapa sendiri. Ibu bapa harus diingatkan bahawa anak-anak umpama kain putih untuk dicorakkan. Salah didikan bakal menjadi barah yang membunuh masa depan permata negara ini. Selain nasihat melalui kaedah lisan, ibu bapa menjadi suri tauladan kerana kepimpinan melalui tauladan lebih dekat dengan jiwa anak-anak.
Seterusnya, masyarakat turut memerlukan golongan belia yang gagah dari aspek fizikal dan mentalnya. Hal ini kerana usia kumpulan ini sangat optimum dalam menyumbang bakti kepada masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan dan khidmat sosial. Sebagai tamsil, aktiviti bergotong-royong yang dianjurkan oleh Rukun Tetangga amat memerlukan tenaga muda bagi memudahkan segala kerja berat yang boleh dilakukan bersama-sama. Bak kata pepatah Melayu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Segala pekerjaan seperti membersihkan kawasan persekitaran, mencuci longkang yang tersumbat dan aktiviti mengecat bukan sahaja dapat disiapkan dalam masa yang singkat malahan kegiatan seperti ini merapatkan ukhuwah persaudaraan sesama manusia. Lazimnya, kesibukan membanting tulang mencari nafkah zahir membataskan perhubungan, tetapi dapat ditautkan kembali dengan adanya anjuran sebegini.
Di samping itu, suara belia sangat berkesan dalam mempengaruhi peta minda masyarakat. Justeru, golongan belia perlu mengambil peluang dengan menyemarakkan semangat warna biru yang terdapat pada Jalur Gemilang itu sendiri. Perpaduan dapat dibentuk apabila seluruh masyarakat berganding bahu dengan suara belia sebagai pembakar semangat meniupkan persaudaraan. Jangan semaikan benih kebencian sehingga peristiwa hitam seperti Rusuhan Kaum 13 Mei menyala kembali seperti pisang berbuah kali kedua. Toleransi dan saling menghormati merupakan antara kunci perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Belia perlu sentiasa beringat bahawa mereka adalah tonggak untuk meneruskan delegasi negara kelak.
Sumbanglah walau sebesar zarah demi kesejahteraan bersama. Itulah diksi indah yang sepatutnya membibitkan kesedaran dalam diri para belia untuk menyumbang bakti terhadap masyarakat setempat. Sekiranya kesemua belia menyalurkan khidmat kepakaran bidang masing-masing, tiada asbab pembangunan negara terbantut. Sebagai contoh, seseorang belia yang pakar dalam bidang ekonomi boleh merangka dasar pembangunan bukan sahaja membantu dari aspek kewangan negara bahkan membuka ruang untuk golongan berpendapatan rendah turut serta dalam pembangunan tersebut. Golongan pendidik pula sebagai batu loncatan dalam melahirkan ahli cerdik pandai dalam pelbagainl lingkungan bidang. Tidak dinafikan bahawa belia mampu mengubah nasib negara dengan sumbangan kepakaran masing-masing. Jadilah seperti pohon yang berbuah yakni memberi manfaat kepada orang lain.
Sebagai akhirul kalam, ingin ditegaskan bahawa tanpa golongan belia, negara sukar untuk meneruskan kelangsungan kemajuan. Semangat juang luar biasa belia seperti akar yang menguatkan pasak pohon negara. Sumbang bakti golongan majoriti ini menjadi kekuatan dalaman dalam membangunkan negara tidak kira ruang lingkup politik, ekonomi mahupun sosiobudaya. Segala peranan dan tanggungjawab di bahu para belia diharap dapat memajukan negara yang bertamadun yakni lahiriah dan rohaniah masyarakatnya sangat utuh. Bebaskan diri belia daripada kancah maksiat yang boleh meranapkan jati diri. Semua pihak mempunyai peratusan dalam menggalas tugas untuk meningkatkan kecemerlangan dan sahsiah anak-anak belia yang bakal menerajui kepimpinan negara. 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.'